Tuesday, May 26, 2009

Pandangan Ahli Akademik.

Asas Nilai: Mencari Kebenaran - oleh Dr. Ahmad Sanusi Hassan.

Zaman Renaissance merupakan detik sejarah gemilang tamadun Eropah. Pembaharuan ini bermula dari abad 1400 Masihi. Ahli-ahli falsafah barat mengklasifikasikan zaman ini sebagai zaman permulaan dalam peradaban ‘moden’, zaman baru ‘neoclassicism’. Di zaman pembaharuan ini, dunia Eropah dimerdekakan dari belenggu kepercayaan yang ahli-ahli sejarah menafsirkan sebagai kategori ‘kurafat’ yang menyekat arus kemajuan sains dan teknologi. Visi pembaharuan ini menekankan potensi intelektual sains dan teknologi yang berasaskan kekuatan alasan dan logik dalam menghuraikan sesuatu jawapan sebagai asas kebenaran/ukuran. Kekuatan ‘berfikir’ melewati segala batasan yang memberi kebenaran yang abadi. Kepercayaan ini sebenarnya begitu konflik dengan kepercayaan tamadun mereka pada zaman Pertengahan Eropah iaitu sistem yang mempunyai asas ketuhanan yang berpandukan apa yang termaktub dalam kitab Injil (‘Bible’).
Walaubagaimanapun, pembaharuan ini bukannya bermakna mereka menolak agama Kristian sebagai agama mereka dan menggantikan dengan agama lain. Notis pembaharuan ini adalah untuk memberi ruang fahaman nilai ‘anthropocentricism’ dari sekatan kemelut kepercayaan agama mereka. Agama dianggap kepentingan sampingan spiritual sahaja dan ianya hanya diaplikasikan pada aktiviti agama semata-mama dan tidak melebihi batasan ini. Agama mesti dipisahkan daripada menjadi halangan kemajuan sains, teknologi, politik, ekonomi dan senibina. Dari perkembangan sains dan teknologi dunia barat ini, susulan teori yang berlandaskan dari tamadun Yunani dan Romawi seperti teori organik struktur manusia dan biologinya, dan teori mathematik yang berasaskan ukuran semulajadi manusia dikembangkan. Sepertimana bangunan-bangunan di tamadun Yunani dan Romawi, kebanggaan kepada bangunan civil dan republik menjadi imej utama. Secara tidak langsung pembaharuan ini adalah reformasi kepada imej sosial dari kemelut keagamaan kepada kepercayaan kepada kekuatan logik dan rasional. Agama dan segala yang berkaitan dengan hal-ehwal hidup manusia dipisahkan.
Pembaharuan kaedah pemikiran ini menghasilkan perkembangan fizikal kejuruteraan, matematik, sains, senibina dan pembinaan. Master builders seperti Filippo Brunelleshi, Leon Batista Alberti, Michelangelo, Andrea Palladio dan Donato Bramante di masa itu begitu dipengaruhi oleh disiplin ini di mana ianya menjadi kelogikan dan alasan dari segi teknik rekabentuk. Konsep rekabentuk bangunan berasaskan sistem geometri matematik seperti segiempat sama, segiempat tepat, bulatan, matematik pembahagian ruang (‘mathematical ordering of space’) dan 3 dimensi. Sistem ini berasaskan ukuran manusia sebagai dimensi pengukur alam. Dimensi yang ketiga ditemui oleh Brunelleschi dan hasil penemuan ini ialah lukisan perspektif yang dipercayai menjadi garis pengukur baru secara 3 dimensi sebagai interpretasi realiti kepada rekabentuk yang berstruktur matematik. Kemungkinan besar penemuan ini mempunyai kaitan dengan salah satu kepercayaan Kristian iaitu bapa, ibu dan anak tuhan dalam 3 dimensi. Kepercayaan ini dikaitkan dengan ilmu sains kepada 3 dimensi manusia yang dapat dilihat melalui lukisan perspektif.
Senibina Baraoque merupakan susulan rekabentuk dari Senibina Renaissance. Senibina Renaissance perkembangannya hanya tertumpu di sekitar Itali dan rekabentuknya ditiru oleh jurubina-jurubina di seluruh Eropah. Senibina Baroque pula adalah senibina yang mempunyai perkembangan yang lebih meluas. Perkembangannya dihasilkan di seluruh benua Eropah seperti Perancis, Jerman, England Austria, Sepanyol dan juga benua Amerika (‘New World’). Selain daripada itu, kekuatan kerajaan beraja dikurang supaya tidak menghalang perkembangan ilmu logik dan rasional. Zaman ini merupakan zaman perkembangan teknologi di mana ahli-ahli sains yang terkemuka Eropah seperti Newton, Galileo dan Kepler menonjolkan perjumpaan teori-teori saintifik. Di zaman ini juga ahli-ahli sains membuktikan bahawa bumi bukannya pusat alam ini sepertimana yang dihuraikan dalam agama mereka. Bumi sebenarnya mengelilingi matahari dan ianya adalah salah satu planet dalam galaksi. Pertemuan-pertemuan sains pada zaman ini secara rasionalnya adalah begitu konflik dengan fahaman yang berdasarkan agama mereka selama ini. Pertemuan-pertemuan ini mempengaruhi fahaman bahawa secara rasionalnya, manusia dapat mempengaruhi dan merekabentuk alam semulajadi dengan bantuan ilmu sains dan teknologi.
Di zaman ini juga merupakan zaman kebangkitan fahaman nasionalism. Kebangkitan ini adalah susulan daripada pengurangan kekuasaan raja dan gereja dalam menerajui sesebuah negara. Di utara Eropah, fahaman protestan mendapat sambutan iaitu menolak fahaman bahawa gereja mempunyai kuasa dalam pembersihan dosa-dosa. Kebangkitan ini memberi laluan kepada penubuhan kerajaan sekular. Kekurangan kuasa pihak gereja mempunyai kesan yang mendalam dalam rekabentuk senibina Baroque. Berbeza dengan senibina gemilang gereja pada zaman Romaneque dan Gothic, rekabentuk gereja pada zaman ini banyak diterapkan dengan nilai-nilai keagungan senibina Yunani dan Romawi. Simbol ini bertujuan memaparkan bahawa kekuasaan gereja telah tunduk kepada kekuasaan rasional. Elemen-elemen rekabentuk Yunani seperti ‘Cornice’, ‘Doric, Ionic dan Corinthian’ tiang, ‘Capital’ dan ‘Entablature’ menjadi imej utama gereja-gereja pada masa itu. Patung-patung ‘sculpture’ dibina berlambangkan ‘super human’ tokoh-tokoh Yunani dan Romawi yang dikaitkan dengan sejarah Mariam dan Isa (‘Jesus’). Gereja-gereja ini berbentuk geometri manusia sebagai ukuran dimensi alam semulajadi. Senibina Baroque memaparkan permulaan rekabentuk senibina yang kurang menekankan aspek-aspek simetri, menunjukkan rekabentuk mulai tidak tertakluk kepada elemen-element simetri. Begitu juga dengan simbol raja-raja di negara-negara Eropah di mana senibina melambangkan kekurangan kekuasaan sistem beraja. Senibina istana berlandaskan aspek-aspek geometri dan element-element Yunani dan Romawi.
Zaman ini juga adalah zaman gemilang penaklukan Eropah di benua-benua lain. Kesan penaklukan ini memberi kesan yang begitu mendalam pada tanah-tanah jajahan mereka. Mereka mengamalkan sejarah imperialism Romawi dengan memperkenalkan rekabentuk klasikal. Seperimana dalam penjajahan Romawi, penaklukan Eropah memaparkan pembinaan pusat pemerintahan dan perdagangan. Mereka menerapkan unsur-unsur Yunani dan Romawi dalam rekabentuk bangunan-bangunan pemerintahan dan perdagangan di tanah jajahan mereka sebagai imej tamadun mereka. Unsur-unsur ini sangat berlawanan sekali dengan rekabentuk senibina tempatan di jajahan mereka yang berlandaskan kepercayaan ‘Theocentricism’ dan penjajah-penjajah barat menganggap senibina ini sebagai inferior dan mengukur rekabentuk ini sebagai tamadun yang ketinggalan dan diganti dengan senibina Eropah. Mereka mengenakan undang-undang senibina Eropah di mana undang-undang ini menyekat kebebasan dan potensi rekabentuk tempatan. Kepercayaan mereka mempengaruhi rekabentuk tempatan dan nilai-nilai ini masih mempengaruhi rekabentuk tempatan. Mereka hanya mengintegrasikan aspek-aspek tropikal dalam rekabentuk bangunan.